Jul 31, 2020 - FASStadium UiTM, Shah Alam akan menjadi gelanggang bagi pasukan utama Selangor untuk kejohanan Liga Malaysia yang bakal disambung 26 Ogos 2020 ini.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon, perubahan ini terjadi bagi mengambil pendekatan lebih awal berdasarkan perbincangan peringkat lebih tinggi yang dijalankan oleh pihak pengurusan Stadium Shah Alam.
"FAS tak mahu berada dalam keadaan tak menentu dan mengambil keputusan untuk bermain di tempat lain sambil memberi ruang dan masa untuk Stadium Shah Alam mengalami perubahan yang lebih baik. Apa yang kita cuba elak adalah semasa Liga Malaysia berlangsung, tiba-tiba proses menambahbaikan dijalankan," katanya semasa temubual semalam.
Jelas Dr. Johan lagi, keputusan ini juga diambil atas faktor Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Malaysian Football League (MFL) menetapkan Liga-M dijalankan tanpa penonton.
"Pada awalnya FAS berhasrat untuk menghabiskan kesemua baki perlawanan musim 2020 di Stadium Shah Alam kerana kita telahpun menjual pas bermusim kepada penyokong tetapi MKN dan MFL telah mengumumkan bahawa Liga-M bakal dijalankan di dalam stadium tertutup, kita mengambil keputusan untuk berpindah lebih awal kerana komitmen untuk menyediakan tempat duduk untuk penyokong bukan lagi fokus untuk sementara waktu," tambahnya.
Perancangan bagi musim hadapan juga telah dipertimbangkan kerena Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan beberapa kertas cadangan untuk proses baik pulih Stadium Shah Alam dan masih tidak mempunyai tarikh akhir bila stadium itu akan dibenarkan beroperasi semula.
Pada masa yang sama, FAS juga sedang menimbangkan Stadium MBPJ menjadi gelanggang sementara pasukan Selangor bagi tahun 2021 sehingga Stadium Shah Alam sudah siap dibaikpulih dan sedia untuk Selangor kembali beraksi di sana.
"Saya memahami perasaan penyokong yang inginkan gelanggang sendiri tetapi banyak lagi perkara yang Selangor perlu perbaiki dan bangunkan. Stadium merupakan agenda utama kami tetapi ia merupakan salah satu perkara yang perlukan sumber dan masa yang terperinci dan rapi,” jelas Dr. Johan.
“Kita tak ingin terburu-buru dalam membuat keputusan. Saya berharap agar penyokong boleh bagi masa untuk FAS mengakaji, memahami dan mencari dana untuk membangunkan stadium sendiri," tegas Dr. Johan sebelum mengakhiri temu bual.